Sunday, January 11, 2009

Sindiket Penipuan SMS Tumpas

Noor Rashid (kanan), Soh (tengah) dan Iyda (kiri) dalam sidang media tersebut.
.
TAWAU: Satu sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sering menjual nama syarikat-syarikat besar di negara ini, berjaya dilumpuhkan oleh Polis Sabah, Jumaat lepas apabila 15 ahli sindiket tersebut berjaya ditangkap dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah rumah, di Taman Mosaic di sini.

Kesemua yang ditahan pada serbuan kira-kira jam 2.00 pagi itu, terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun serta 11 lelaki dan 2 wanita warga Indonesia, berusia antara 20 dan 35 tahun.

Kesemua warga Indonesia yang ditahan juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Turut ditahan dalam serbuan tersebut ialah seorang bayi lelaki berusia 2 bulan, yang merupakan anak kepada salah seorang suspek yang ditahan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim dalam sidang medianya berkata, pada serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau itu, beberapa peralatan yang digunakan oleh sindiket tersebut turut dirampas.

Antaranya ialah 43 telefon bimbit jenis Nokia, 13 telefon bimbit pelbagai jenis, 17 buku akaun bank, 7 pasport Indonesia, 8 pasport lintas sempadan Indonesia, sebuah televisyen, sebuah pemain DVD, 33 kad bank (ATM), wang tunai RM 7,000, wang Rupiah 2 Juta, pelbagai sim pack serta peralatan-peralatan lain.

Noor Rashid menjelaskan bahawa modus operandi sindiket itu ialah ahli-ahli sindiket akan mengirim pesanan ringkas kepada pengguna telefon bimbit dan menjual nama syarikat-syarikat besar seperti Breeze, Akademi Fantasia, Petronas dan Shell, menyatakan si penerima SMS telah memenangi hadiah. Hadiah tersebut bagaimanapun hanya boleh dituntut setelah si penerima SMS memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberi oleh ahli-ahli sindiket.

Mengenai akaun bank yang digunakan pula, beliau memberitahu bahawa sindiket itu akan memperdaya orang-orang tempatan yang tinggal di kawasan pedalaman, untuk membuka akaun bank dan kad bank (ATM) mereka akan disimpan oleh sindiket terbabit. Orang-orang tempatan kemudiannya akan diberi sejumlah wang sebagai imbalan.

"Apapun, kita percaya bahawa pihak kita telah berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket ini. Kini kita sedang menyiasat sama ada masih terdapat ahli-ahli lain yang terlibat dan sama ada kegiatan sindiket ini turut melibatkan negeri-negeri lain di Malaysia," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua 15 suspek yang ditahan kini disiasat kerana kesalahan menipu, mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan.

Berdasarkan rekod pihak polis katanya, sebanyak 115 penipuan melibatkan SMS telah diterima pihaknya sepanjang tiga tahun lalu, iaitu 23 kes pada 2006, 65 kes pada 2007 dan 27 kes pada 2008, melibatkan jumlah kerugian kira-kira RM 1.9 juta.

Sementara itu, ditanya mengenai rumah yang digunakan oleh sindiket itu pula, beliau menyatakan rumah tersebut telah disewa oleh sindiket itu sejak lapan bulan yang lalu dan tidak menolak yang sindiket itu menjalankan kegiatannya secara berpindah-randah.

"Justeru, pemilik-pemilik rumah dinasihatkan supaya berhati-hati ketika ingin menyewakan rumah mereka kerana jika si penyewa menyalahgunakan rumah tersebut untuk kegiatan jenayah, mereka juga akan menghadapi masalah."

"Kalau rumah tersebut digunakan pula oleh Pendatang Tanpa Izin (PTI), mereka juga boleh dituduh di bawah Seksyen 56, Akta Imigresen kerana melindungi PTI," katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan sms atau panggilan yang mereka terima dan sebarang keraguan, haruslah dirujuk kepada pihak polis.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sabah, Superintendan Soh Hock Sing dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau, ASP Iyda Ismail.

Antara kupon yang dikeluarkan oleh sindiket tersebut untuk memperdayakan orang awam.

1 comment:

Anonymous said...

pu3 ezza promote blog nih.. nice blog.. saya pon nyaris jd mangsa penipuan sms.. nasib baik saya bijak.. jdi tak ler saya trtipu.. hihi