Saturday, January 3, 2009

Pemangku Ketua Polis Tawau Ditikam

.
Hari ini, pagi-pagi lagi saya mendapat khabar yang cukup mengejut dan menyedihkan - Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Haji Ramli Ali Mat cedera parah ditikam di bahagian kiri perut oleh sekumpulan lima lelaki yang memecah masuk kediamannya di Taman Ria 5, Tawau.
.
Sebaik mendapat maklumat, saya terus bergegas mencari info-info yang boleh dikongsi. Di Hospital Tawau, para YB, pegawai-pegawai kerajaan dan masyarakat berpusu-pusu datang mahu melawat Tuan Ramli (bahasa yang sering saya gunakan untuk memanggilnya selama ini).
.
Tapi ketika saya datang tadi, Tuan Ramli masih di dalam bilik pembedahan dan kemudiannya dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Keadaannya dilaporkan serius, tetapi stabil.
.
Menurut maklumat yang saya dapat, kejadian tu berlaku pada kira-kira jam 2.00 pagi tadi. Ketika itu beliau bersendirian di rumahnya kerana isteri dan enam anaknya bercuti ke Semenanjung.
.
Sebaik sahaja isterinya mengetahui kejadian tu, beliau terus balik ke Tawau dengan anak-anaknya awal pagi tadi. Saya sempat berjumpa mereka di hospital.
.
Saya difahamkan, seorang daripada lima lelaki itu masuk melalui tingkap di bilik atas kediaman beliau. Manakala yang lain-lain pula berada di tingkat bawah.
.
Menurut satu sumber yang belum jelas kebenarannya, pisau yang digunakan untuk menikam perut Tuan Ramli itu juga beracun. Jahat bah durang tu kan. Selepas ditikam, Tuan Ramli sempat menggunakan walkie-talkienya menghubungi pihak polis.
.
Apa yang ingin saya katakan di sini, saya harap kita semua dapat berdoa mudah-mudahan Tuan Ramli cepat sembuh dan mudah-mudahan juga penjenayah-penjenayah tu dapat ditangkap cepat.
.
Sepanjang saya mengenali Tuan Ramli, bagi saya beliau adalah orang yang begitu baik, lemah-lembut dan bijak. Tindak-tanduknya dengan orang awam juga sangat berhikmah. Saya berharap dia akan sihat cepat dan kembali bertugas kerana bukan mudah kita mendapat seorang pegawai polis yang sebegitu baik di tempat kita ni.
.
Kepada isteri dan anak-anaknya, saya berharap mereka bersabar dengan dugaan yang Allah S.W.T beri ini. Insya-Allah ada hikmah di sebaliknya.
.
Kepada masyarakat di luar sana, sentiasalah kita berhati-hati kerana penjenayah sentiasa mencuri peluang. Laporkan juga segera kepada pihak polis sebarang kegiatan jenayah yang kamu tahu dan bersama-samalah kita membebaskan Perbandaran Tawau dari jenayah. Mudah-mudahan bandar kita ini menjadi bandar yang sentiasa aman dan selamat. Amin!
.
-THE REPORTER-
(View my other related site at http://www.tawaukini.ning.com/)
.
- Laporan Versi Berita -
.
TAWAU, 3 Jan - Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Ramli Ali Mat cedera parah ditikam di kediamannya di Taman Ria 5, di sini kira-kira pukul 2 pagi tadi, apabila sekumpulan lima lelaki menceroboh masuk ke kediaman beliau. Ketika kejadian, Ramli difahamkan berseorangan di rumah itu.
.
Menurut jurucakap polis, Ramli kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tawau dan keadaannya dilaporkan stabil.
.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim dijangka melawat Ramli di hospital itu hari ini.

1 comment:

Anonymous said...

kejam btol org yg buat kerja nih.. mukanya yg ditepi tu pun mcm muka perogol jak.. kalau dpt ditngkp suruh ket polis tu tikam dia blik..