Sunday, December 28, 2008

Dua Warga Emas Maut Dirempuh Kenderaan Pacuan Empat Roda

.
TAWAU - Dua wanita warga emas terbunuh selepas mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di kilometer 6, Jalan Kuhara, kira-kira pukul 3 petang, 28 Disember.

Mangsa yang dikenali sebagai Bunga Suka Kutamba, 58, dan Lorong Gulidra, 70, dari Kampung Pisang mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang ada kaitan kekeluargaan itu dikatakan dalam perjalanan balik daripada menziarahi keluarga mereka di Kampung Muhibbahraya.

Kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipercayai cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah kereta sebelum merempuh kedua-kedua mangsa yang sedang berjalan kaki di tepi jalan raya itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Ramli Ali Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat. - Bernama

Salam Hijrah


Klik untuk dapatkan grafik Pixelcode

Saya (The Reporter) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram kepada Umat Islam di seluruh dunia.

Saturday, December 27, 2008

Wartawan Diserang

Zafrin


Wartawan akhbar New Sabah Times (NST), Mohd. Zafrin Nordin, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berhubung tindakan pemaju tapak Medan Anjung Selera Sabindo Tawau, bertindak menyerang beliau dengan kata-kata kesat pada 25 Disember yang lalu.

Kejadian itu berlaku di belakang salah sebuah gerai di tapak terbabit ketika wartawan berkenaan ingin beredar selepas makan malam di gerai itu, lebih kurang pukul 9.45 malam.

Menurut laporan polis yang dibuat Zafrin pada jam 10.54 malam, insiden itu bermula apabila beliau tiba-tiba didatangi pemaju tapak berkenaan yang dikenali sebagai Buyung, yang kemudiannya bertindak mempertikaikan tindakan wartawan itu menyiarkan satu artikel di akhbar NST pada 23 Disember.

Artikel berkenaan menyentuh kenyataan Haji Salsidu Haji Ibrahim, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), yang menggesa supaya pemaju tapak menyediakan tong sampah di kawasan itu untuk kegunaan para penyewa gerai-gerai di tapak berkenaan.

Zafrin menunjukkan salinan laporan polis dan artikel berkaitan yang tersiar pada 23 Disember.

Dalam laporan yang dibuat, Zafrin menyatakan bahawa selain kata-kata kesat, beliau turut ditolak oleh anak pemaju terbabit dan dihalau keluar dari kawasan Medan Anjung Selera Sabindo.
.
Sementara itu, Zafrin ketika ditemubual memberitahu bahawa beliau kesal dengan insiden itu dan menyifatkan tindakan pemaju tapak berkenaan sebagai tidak peka terhadap tugas sebenar seseorang wartawan.
.
Meskipun beliau sudah menerangkan bahawa artikel itu adalah kenyataan Salsidu dan pihak pemaju tapak terbabit boleh mengeluarkan kenyataan lain atau bertindak menyaman pihak akhbar jika kenyataan itu tidak betul, namun Buyung terus-menerus mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.
.
"Saya cuma menjalankan tugas saya dan artikel itu saya tulis adalah berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden (Salsidu).
.
"Kenapa saya yang ditengking dan dimaki di depan orang ramai? Dan, apa perlunya dia kata dia tidak mahu ada pemberita datang ke tapak itu sedangkan saya datang sebagai pelanggan kepada sebuah gerai di situ. Adakah itu bermaksud wartawan dilarang makan di gerai-gerai yang ada di sana?" Katanya.
.
Dalam hal berkaitan, Zafrin menyatakan bahawa beliau menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana beliau percaya pihak berkuasa terbabit cukup bijaksana untuk menyiasat kes tersebut seadil-adilnya.
.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Operasi MPT, Khanizman Mohd. Pakir, dalam kenyataannya mewakili Salsidu pula menyatakan bahawa insiden itu tidak seharusnya berlaku apatah lagi apabila kenyataan yang disiarkan adalah kenyataan Presiden MPT.
.
"Jangan salahkan wartawan. Mereka hanya menjalankan tugas dan kalau adapun masalah berhubung artikel berkenaan, kenapa tidak datang atau berhubung dengan pihak MPT? Saya kesal dengan perkara ini," katanya.
.
Pemangku Ketua Polis daerah Tawau, Supt. Haji Ramli Ali Mat, dalam pada itu mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan yang dibuat Zafrin. Menurutnya, pihak polis akan menyiasat perkara itu.
.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Joniston Bangkuai, ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana wartawan berkenaan cuma menjalankan tugasnya.
.
"Kejadian ini mengecewakan kerana masih ada pihak yang gagal memahami tugas wartawan dan tidak boleh menerima kritikan membina," katanya.

Tuesday, December 16, 2008

Ops Bersepadu: Warga Asing Jatuh Siling


Mohon bantuan pihak berkuasa untuk turun.

TAWAU (11 Dis) - Seorang wanita warga asing yang cuba menyelamatkan diri dengan menyorok di atas siling sebuah rumah tumpangan di bandar ini, gagal apabila dia jatuh terhempas ke bawah. 

Hal ini disebabkan lantai siling tempat persembunyiannya runtuh, sekaligus menyebabkan beliau akhirnya ditangkap pihak berkuasa. Seorang lagi rakannya, terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa terlibat untuk turun dari siling berkenaan ekoran jaraknya yang agak tinggi dari lantai. 

Demikian adalah antara insiden yang berlaku semasa berlangsungnya Operasi Bersepadu pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan pihak polis, di Jalan Stephen Tan (kawasan Stesen Bas Tawau) di sini hari ini.

Kedua-dua wanita terbabit merupakan antara lapan wanita warga asing yang ditahan, kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di rumah tumpangan berkenaan.

Pihak berkuasa meminta wanita-wanita berkenaan menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Presiden MPT Haji Salsidu Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana premis yang didapati melanggar peraturan ditetapkan, termasuklah dengan menarik lesen dan menutup premis tersebut.

Katanya lagi, pihak MPT akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah bagi membanteras kegiatan tidak bermoral di daerah ini, seperti aduan yang telah banyak diterima pihaknya.

Salsidu ketika ditemubual pemberita. Turut kelihatan ialah Darwis (kanan) dan Khanizman (tengah)

Menyentuh operasi itu, beliau memberitahu bahawa ia diadakan bagi menangani masalah pelanggaran undang-undang MPT, penjaja haram, kutu-kutu sampah dan Pendatang Tanpa Izin (PTI) di daerah ini. Seramai 32 PTI telah ditahan dalam operasi tersebut. 

Syed Ali, salah seorang daripada anggota yang trelibat dalam operasi berkenaan, sedang memeriksa lesen sebuah premis perniagaan.

Hadir sama ialah Cif Inspektor Darwis Riduan; Timbalan Setiausaha Operasi MPT, Khanizman Mohd Pakir serta lebih 80 anggota operasi.

Ikan Bakar Terlazat di Tawau


TAWAU: Gerai Makan T&T yang terletak di Medan Anjung Selera, Pesisiran Pantai Sabindo, bukanlah sebuah gerai yang asing lagi dalam kalangan 'kaki lepak dan kaki makan' di daerah ini. Gerai pilihan ramai ini menyajikan pelbagai hidangan yang lazat. Paling istimewa merupakan Ikan Bakar T&T yang boleh didapati dengan harga serendah RM5.

Selain ikan bakar, hidangan lain turut disediakan seperti Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Ayam, Mee Goreng dan aneka jenis makan lagi. Bagi mereka yang gemarkan jus buah pula, gerai ini wajar dijadikan pilihan kerana ia turut menawarkan pelbagai jenis jus buah-buahan yang pasti memuaskan hati anda.

Pendek kata, menjamu selera di Gerai T&T sememangnya sesuatu yang menyeronokkan, apatah lagi dengan lokasinya yang terletak berdekatan dengan laut. Hal ini mendorong beberapa artis yang pernah berkunjung ke daerah ini, untuk turut mencuri kesempatan menikmati hidangan di gerai berkenaan. 

Antaranya ialah Arash Mohamad, Izwan Pilus, Farawahida, Velvet, Abu Bakar Ellah, Yabang (vokalis Jinbara) dan ramai lagi. Beberapa orang wakil rakyat juga sering mengunjungi gerai tersebut, untuk menikmati makan malam mereka. 

Mereka yang ingin membuat tempahan atau mengunjungi gerai ini, boleh menghubungi krew T&T di talian 019-869 5882 atau 019-863 4674.