Wednesday, January 21, 2009

Kejayaan Terbaharu Polis Marin Tawau

Di sini ingin saya kongsikan kejayaan-kejayaan terbaharu Pasukan Polis Marin Tawau:

1) RAMPASAN 4,200 BAHAN PELETUP UNTUK DIJADIKAN BAHAN MEMBUAT BOM IKAN

Husaini menunjukkan bahan letupan yang berjaya dirampas

- Kejayaan ini berlaku pada Rabu (21/01/09) kira-kira jam 2.20 petang apabila sebanyak 4,200 bahan peletup berjaya dirampas daripada sebuah kenderaan jenis Kembara di Jalan Habib Hussain Tawau (berhadapan Restoran Aliff).

- Tiga suspek ditahan termasuk seorang wanita yang berusia antara 32 hingga 43 tahun yang berada di dalam kereta berkenaan. Kesemua bahan peletup ditemui tersimpan di dalam sebuah kotak di dalam kereta tersebut.

- Bahan letupan yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk tujuan pasaran di daerah-daerah berdekatan. Bahan peletup itu dipercayai juga digunakan untuk membuat bom ikan.

- Kesemua suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 - yang boleh membawa hukuman maksima penjara 7 tahun, denda RM 10 ribu atau kedua-duanya sekali.

2) RAMPASAN 1,200 KG GULA YANG DIPERCAYAI CUBA DISELUDUP KE SG. NYAMUK, INDONESIA

- Polis Marin Tawau pada Selasa (20/01/09) telah menahan seorang juragan Indonesia berusia 40 tahun dan merampas 1,200 kg gula bernilai RM1920.00 dari perahu juragan terbabit, di kawasan laut Tanjung Batu Tawau.

- Kesemua gula berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke Sungai Nyamuk, Indonesia kerana harga pasaran yang lebih tinggi di negara itu.

- Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNDHEP Tawau.

Anggota Polis Marin Tawau menunjukkan gula pasir yang dirampas

3) RAMPASAN UBAT-UBATAN TIDAK BERDAFTAR DARI INDONESIA

- Pelbagai jenis ubat-ubatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dirampas oleh Polis Marin Tawau, ketika ubat-ubatan itu cuba diseludup masuk ke negara ini pada Selasa (20/01/09) kira-kira jam 11.45 pagi.

Antara ubat-ubatan yang dirampas Polis Marin Tawau

- Ubat-ubatan bernilai RM 21,750 itu ditemui di atas kargo simpanan barang sebuah feri yang diperiksa oleh pihak berkuasa terbabit, di kawasan laut Pelabuhan Tawau, sebaik tiba dari Nunukan, Indonesia.

- Bagaimanapun tiada sesiapa mengaku sebagai pemilik ubat-ubatan terbabit dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada pihak penguatkuasa Farmasi Tawau.

4) 6,000 LITER MINYAK DIESEL DIRAMPAS SETELAH SEBUAH BANGSAL DISERBU.

- Polis Marin Tawau yang menyerbu sebuah bangsal di Jalan SK Batu 4, Tawau berjaya merampas 6,000 liter diesel yang disimpan di dalam enam tangki di dalam bangsal terbabit.

- Turut dirampas ialah tiga tangki kosong, dua unit pam dan 12 tong drum yang keseluruhannya bernilai RM 30,000.

- Dua lelaki berusia 17 dan 38 tahun juga turut ditahan, yang seorang daripada mereka menggunakan pasport Indonesia manakala seorang lagi menggunakan sijil lahir sebagai dokumen pengenalan diri.

- Kesemua tindakan tersebut diambil berikutan bangsal terbabit didapati menyimpan diesel secara haram dan kes itu telahpun diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Tawau.

5) EMPAT PATI INDONESIA TERMASUK SEORANG WANITA DITAHAN

- Seramai empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia yang berusia di antara 18 dan 23 tahun ditahan sebaik sahaja mereka tiba ke daerah Tawau dengan menaiki sebuah feri penumpang, Selasa lepas (20/01/09).

- Ketika diperiksa oleh Polis Marin Tawau, mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

- Kesemua PATI terbabit telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Tawau untuk disiasat di bawah Seksyen 16 (1) (c), Akta Imigresen.
.
Photos and text originally by: The Reporter

Saturday, January 17, 2009

Demonstrasi Membantah Keganasan Israel di Masjid Alkauthar Tawau

TAWAU: Parti PAS dengan kerjasama Parti DAP di sini telah melancarkan Demonstrasi Membantah Keganasan Israel Ke Atas Penduduk Palestin di Gaza dan dalam masa yang sama, melancarkan Kempen Memboikot Barangan Buatan Israel, Amerika dan negara-negara sekutunya, pada 16 Januari yang lalu, di Masjid Alkauthar.

Demonstrasi tersebut diadakan di perkarangan masjid terbabit selepas solat Jumaat, dan ia turut dihadiri oleh ADUN DAP Sri Tanjung, Jimmy Wong. Tawau Kini/Tawau News sempat merakamkan sedikit gambar demonstrasi tersebut untuk tatapan pengunjung laman ini.
Report & photos originally by: The Reporter
We invite you to visit our another related site at http://tawaukini.ning.com/

Sunday, January 11, 2009

Sindiket Penipuan SMS Tumpas

Noor Rashid (kanan), Soh (tengah) dan Iyda (kiri) dalam sidang media tersebut.
.
TAWAU: Satu sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sering menjual nama syarikat-syarikat besar di negara ini, berjaya dilumpuhkan oleh Polis Sabah, Jumaat lepas apabila 15 ahli sindiket tersebut berjaya ditangkap dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah rumah, di Taman Mosaic di sini.

Kesemua yang ditahan pada serbuan kira-kira jam 2.00 pagi itu, terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun serta 11 lelaki dan 2 wanita warga Indonesia, berusia antara 20 dan 35 tahun.

Kesemua warga Indonesia yang ditahan juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Turut ditahan dalam serbuan tersebut ialah seorang bayi lelaki berusia 2 bulan, yang merupakan anak kepada salah seorang suspek yang ditahan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim dalam sidang medianya berkata, pada serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau itu, beberapa peralatan yang digunakan oleh sindiket tersebut turut dirampas.

Antaranya ialah 43 telefon bimbit jenis Nokia, 13 telefon bimbit pelbagai jenis, 17 buku akaun bank, 7 pasport Indonesia, 8 pasport lintas sempadan Indonesia, sebuah televisyen, sebuah pemain DVD, 33 kad bank (ATM), wang tunai RM 7,000, wang Rupiah 2 Juta, pelbagai sim pack serta peralatan-peralatan lain.

Noor Rashid menjelaskan bahawa modus operandi sindiket itu ialah ahli-ahli sindiket akan mengirim pesanan ringkas kepada pengguna telefon bimbit dan menjual nama syarikat-syarikat besar seperti Breeze, Akademi Fantasia, Petronas dan Shell, menyatakan si penerima SMS telah memenangi hadiah. Hadiah tersebut bagaimanapun hanya boleh dituntut setelah si penerima SMS memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberi oleh ahli-ahli sindiket.

Mengenai akaun bank yang digunakan pula, beliau memberitahu bahawa sindiket itu akan memperdaya orang-orang tempatan yang tinggal di kawasan pedalaman, untuk membuka akaun bank dan kad bank (ATM) mereka akan disimpan oleh sindiket terbabit. Orang-orang tempatan kemudiannya akan diberi sejumlah wang sebagai imbalan.

"Apapun, kita percaya bahawa pihak kita telah berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket ini. Kini kita sedang menyiasat sama ada masih terdapat ahli-ahli lain yang terlibat dan sama ada kegiatan sindiket ini turut melibatkan negeri-negeri lain di Malaysia," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua 15 suspek yang ditahan kini disiasat kerana kesalahan menipu, mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan.

Berdasarkan rekod pihak polis katanya, sebanyak 115 penipuan melibatkan SMS telah diterima pihaknya sepanjang tiga tahun lalu, iaitu 23 kes pada 2006, 65 kes pada 2007 dan 27 kes pada 2008, melibatkan jumlah kerugian kira-kira RM 1.9 juta.

Sementara itu, ditanya mengenai rumah yang digunakan oleh sindiket itu pula, beliau menyatakan rumah tersebut telah disewa oleh sindiket itu sejak lapan bulan yang lalu dan tidak menolak yang sindiket itu menjalankan kegiatannya secara berpindah-randah.

"Justeru, pemilik-pemilik rumah dinasihatkan supaya berhati-hati ketika ingin menyewakan rumah mereka kerana jika si penyewa menyalahgunakan rumah tersebut untuk kegiatan jenayah, mereka juga akan menghadapi masalah."

"Kalau rumah tersebut digunakan pula oleh Pendatang Tanpa Izin (PTI), mereka juga boleh dituduh di bawah Seksyen 56, Akta Imigresen kerana melindungi PTI," katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan sms atau panggilan yang mereka terima dan sebarang keraguan, haruslah dirujuk kepada pihak polis.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sabah, Superintendan Soh Hock Sing dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau, ASP Iyda Ismail.

Antara kupon yang dikeluarkan oleh sindiket tersebut untuk memperdayakan orang awam.

Saturday, January 3, 2009

Pemangku Ketua Polis Tawau Ditikam

.
Hari ini, pagi-pagi lagi saya mendapat khabar yang cukup mengejut dan menyedihkan - Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Haji Ramli Ali Mat cedera parah ditikam di bahagian kiri perut oleh sekumpulan lima lelaki yang memecah masuk kediamannya di Taman Ria 5, Tawau.
.
Sebaik mendapat maklumat, saya terus bergegas mencari info-info yang boleh dikongsi. Di Hospital Tawau, para YB, pegawai-pegawai kerajaan dan masyarakat berpusu-pusu datang mahu melawat Tuan Ramli (bahasa yang sering saya gunakan untuk memanggilnya selama ini).
.
Tapi ketika saya datang tadi, Tuan Ramli masih di dalam bilik pembedahan dan kemudiannya dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Keadaannya dilaporkan serius, tetapi stabil.
.
Menurut maklumat yang saya dapat, kejadian tu berlaku pada kira-kira jam 2.00 pagi tadi. Ketika itu beliau bersendirian di rumahnya kerana isteri dan enam anaknya bercuti ke Semenanjung.
.
Sebaik sahaja isterinya mengetahui kejadian tu, beliau terus balik ke Tawau dengan anak-anaknya awal pagi tadi. Saya sempat berjumpa mereka di hospital.
.
Saya difahamkan, seorang daripada lima lelaki itu masuk melalui tingkap di bilik atas kediaman beliau. Manakala yang lain-lain pula berada di tingkat bawah.
.
Menurut satu sumber yang belum jelas kebenarannya, pisau yang digunakan untuk menikam perut Tuan Ramli itu juga beracun. Jahat bah durang tu kan. Selepas ditikam, Tuan Ramli sempat menggunakan walkie-talkienya menghubungi pihak polis.
.
Apa yang ingin saya katakan di sini, saya harap kita semua dapat berdoa mudah-mudahan Tuan Ramli cepat sembuh dan mudah-mudahan juga penjenayah-penjenayah tu dapat ditangkap cepat.
.
Sepanjang saya mengenali Tuan Ramli, bagi saya beliau adalah orang yang begitu baik, lemah-lembut dan bijak. Tindak-tanduknya dengan orang awam juga sangat berhikmah. Saya berharap dia akan sihat cepat dan kembali bertugas kerana bukan mudah kita mendapat seorang pegawai polis yang sebegitu baik di tempat kita ni.
.
Kepada isteri dan anak-anaknya, saya berharap mereka bersabar dengan dugaan yang Allah S.W.T beri ini. Insya-Allah ada hikmah di sebaliknya.
.
Kepada masyarakat di luar sana, sentiasalah kita berhati-hati kerana penjenayah sentiasa mencuri peluang. Laporkan juga segera kepada pihak polis sebarang kegiatan jenayah yang kamu tahu dan bersama-samalah kita membebaskan Perbandaran Tawau dari jenayah. Mudah-mudahan bandar kita ini menjadi bandar yang sentiasa aman dan selamat. Amin!
.
-THE REPORTER-
(View my other related site at http://www.tawaukini.ning.com/)
.
- Laporan Versi Berita -
.
TAWAU, 3 Jan - Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Ramli Ali Mat cedera parah ditikam di kediamannya di Taman Ria 5, di sini kira-kira pukul 2 pagi tadi, apabila sekumpulan lima lelaki menceroboh masuk ke kediaman beliau. Ketika kejadian, Ramli difahamkan berseorangan di rumah itu.
.
Menurut jurucakap polis, Ramli kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tawau dan keadaannya dilaporkan stabil.
.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim dijangka melawat Ramli di hospital itu hari ini.