Sunday, December 28, 2008

Dua Warga Emas Maut Dirempuh Kenderaan Pacuan Empat Roda

.
TAWAU - Dua wanita warga emas terbunuh selepas mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di kilometer 6, Jalan Kuhara, kira-kira pukul 3 petang, 28 Disember.

Mangsa yang dikenali sebagai Bunga Suka Kutamba, 58, dan Lorong Gulidra, 70, dari Kampung Pisang mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang ada kaitan kekeluargaan itu dikatakan dalam perjalanan balik daripada menziarahi keluarga mereka di Kampung Muhibbahraya.

Kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipercayai cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah kereta sebelum merempuh kedua-kedua mangsa yang sedang berjalan kaki di tepi jalan raya itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Ramli Ali Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat. - Bernama

Salam Hijrah


Klik untuk dapatkan grafik Pixelcode

Saya (The Reporter) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram kepada Umat Islam di seluruh dunia.

Saturday, December 27, 2008

Wartawan Diserang

Zafrin


Wartawan akhbar New Sabah Times (NST), Mohd. Zafrin Nordin, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berhubung tindakan pemaju tapak Medan Anjung Selera Sabindo Tawau, bertindak menyerang beliau dengan kata-kata kesat pada 25 Disember yang lalu.

Kejadian itu berlaku di belakang salah sebuah gerai di tapak terbabit ketika wartawan berkenaan ingin beredar selepas makan malam di gerai itu, lebih kurang pukul 9.45 malam.

Menurut laporan polis yang dibuat Zafrin pada jam 10.54 malam, insiden itu bermula apabila beliau tiba-tiba didatangi pemaju tapak berkenaan yang dikenali sebagai Buyung, yang kemudiannya bertindak mempertikaikan tindakan wartawan itu menyiarkan satu artikel di akhbar NST pada 23 Disember.

Artikel berkenaan menyentuh kenyataan Haji Salsidu Haji Ibrahim, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), yang menggesa supaya pemaju tapak menyediakan tong sampah di kawasan itu untuk kegunaan para penyewa gerai-gerai di tapak berkenaan.

Zafrin menunjukkan salinan laporan polis dan artikel berkaitan yang tersiar pada 23 Disember.

Dalam laporan yang dibuat, Zafrin menyatakan bahawa selain kata-kata kesat, beliau turut ditolak oleh anak pemaju terbabit dan dihalau keluar dari kawasan Medan Anjung Selera Sabindo.
.
Sementara itu, Zafrin ketika ditemubual memberitahu bahawa beliau kesal dengan insiden itu dan menyifatkan tindakan pemaju tapak berkenaan sebagai tidak peka terhadap tugas sebenar seseorang wartawan.
.
Meskipun beliau sudah menerangkan bahawa artikel itu adalah kenyataan Salsidu dan pihak pemaju tapak terbabit boleh mengeluarkan kenyataan lain atau bertindak menyaman pihak akhbar jika kenyataan itu tidak betul, namun Buyung terus-menerus mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.
.
"Saya cuma menjalankan tugas saya dan artikel itu saya tulis adalah berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden (Salsidu).
.
"Kenapa saya yang ditengking dan dimaki di depan orang ramai? Dan, apa perlunya dia kata dia tidak mahu ada pemberita datang ke tapak itu sedangkan saya datang sebagai pelanggan kepada sebuah gerai di situ. Adakah itu bermaksud wartawan dilarang makan di gerai-gerai yang ada di sana?" Katanya.
.
Dalam hal berkaitan, Zafrin menyatakan bahawa beliau menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana beliau percaya pihak berkuasa terbabit cukup bijaksana untuk menyiasat kes tersebut seadil-adilnya.
.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Operasi MPT, Khanizman Mohd. Pakir, dalam kenyataannya mewakili Salsidu pula menyatakan bahawa insiden itu tidak seharusnya berlaku apatah lagi apabila kenyataan yang disiarkan adalah kenyataan Presiden MPT.
.
"Jangan salahkan wartawan. Mereka hanya menjalankan tugas dan kalau adapun masalah berhubung artikel berkenaan, kenapa tidak datang atau berhubung dengan pihak MPT? Saya kesal dengan perkara ini," katanya.
.
Pemangku Ketua Polis daerah Tawau, Supt. Haji Ramli Ali Mat, dalam pada itu mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan yang dibuat Zafrin. Menurutnya, pihak polis akan menyiasat perkara itu.
.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Joniston Bangkuai, ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana wartawan berkenaan cuma menjalankan tugasnya.
.
"Kejadian ini mengecewakan kerana masih ada pihak yang gagal memahami tugas wartawan dan tidak boleh menerima kritikan membina," katanya.

Tuesday, December 16, 2008

Ops Bersepadu: Warga Asing Jatuh Siling


Mohon bantuan pihak berkuasa untuk turun.

TAWAU (11 Dis) - Seorang wanita warga asing yang cuba menyelamatkan diri dengan menyorok di atas siling sebuah rumah tumpangan di bandar ini, gagal apabila dia jatuh terhempas ke bawah. 

Hal ini disebabkan lantai siling tempat persembunyiannya runtuh, sekaligus menyebabkan beliau akhirnya ditangkap pihak berkuasa. Seorang lagi rakannya, terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa terlibat untuk turun dari siling berkenaan ekoran jaraknya yang agak tinggi dari lantai. 

Demikian adalah antara insiden yang berlaku semasa berlangsungnya Operasi Bersepadu pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan pihak polis, di Jalan Stephen Tan (kawasan Stesen Bas Tawau) di sini hari ini.

Kedua-dua wanita terbabit merupakan antara lapan wanita warga asing yang ditahan, kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di rumah tumpangan berkenaan.

Pihak berkuasa meminta wanita-wanita berkenaan menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Presiden MPT Haji Salsidu Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana premis yang didapati melanggar peraturan ditetapkan, termasuklah dengan menarik lesen dan menutup premis tersebut.

Katanya lagi, pihak MPT akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah bagi membanteras kegiatan tidak bermoral di daerah ini, seperti aduan yang telah banyak diterima pihaknya.

Salsidu ketika ditemubual pemberita. Turut kelihatan ialah Darwis (kanan) dan Khanizman (tengah)

Menyentuh operasi itu, beliau memberitahu bahawa ia diadakan bagi menangani masalah pelanggaran undang-undang MPT, penjaja haram, kutu-kutu sampah dan Pendatang Tanpa Izin (PTI) di daerah ini. Seramai 32 PTI telah ditahan dalam operasi tersebut. 

Syed Ali, salah seorang daripada anggota yang trelibat dalam operasi berkenaan, sedang memeriksa lesen sebuah premis perniagaan.

Hadir sama ialah Cif Inspektor Darwis Riduan; Timbalan Setiausaha Operasi MPT, Khanizman Mohd Pakir serta lebih 80 anggota operasi.

Ikan Bakar Terlazat di Tawau


TAWAU: Gerai Makan T&T yang terletak di Medan Anjung Selera, Pesisiran Pantai Sabindo, bukanlah sebuah gerai yang asing lagi dalam kalangan 'kaki lepak dan kaki makan' di daerah ini. Gerai pilihan ramai ini menyajikan pelbagai hidangan yang lazat. Paling istimewa merupakan Ikan Bakar T&T yang boleh didapati dengan harga serendah RM5.

Selain ikan bakar, hidangan lain turut disediakan seperti Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Ayam, Mee Goreng dan aneka jenis makan lagi. Bagi mereka yang gemarkan jus buah pula, gerai ini wajar dijadikan pilihan kerana ia turut menawarkan pelbagai jenis jus buah-buahan yang pasti memuaskan hati anda.

Pendek kata, menjamu selera di Gerai T&T sememangnya sesuatu yang menyeronokkan, apatah lagi dengan lokasinya yang terletak berdekatan dengan laut. Hal ini mendorong beberapa artis yang pernah berkunjung ke daerah ini, untuk turut mencuri kesempatan menikmati hidangan di gerai berkenaan. 

Antaranya ialah Arash Mohamad, Izwan Pilus, Farawahida, Velvet, Abu Bakar Ellah, Yabang (vokalis Jinbara) dan ramai lagi. Beberapa orang wakil rakyat juga sering mengunjungi gerai tersebut, untuk menikmati makan malam mereka. 

Mereka yang ingin membuat tempahan atau mengunjungi gerai ini, boleh menghubungi krew T&T di talian 019-869 5882 atau 019-863 4674.

Tuesday, October 14, 2008

UMNO KALABAKAN CALON NAJIB DAN MUHYIDDIN

TAWAU 12 Okt - Umno Bahagian P.191 Kalabakan di sini mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno, pada Persidangan Perwakilan Umno Pusat Mac depan.

Pada mesyuarat yang sama, bahagian terbabit turut meletakkan Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, masing-masing sebagai calon Naib, Naib Kedua dan Naib Ketiga, pada pemilihan yang sama.

Ketua Umno Bahagian P.191 Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abd. Ghapur Haji Salleh yang kelmarin kekal dengan jawatannya tanpa bertanding berkata, senarai calon Umno Pusat itu diputuskan setelah nama-nama tersebut difikirkan sebagai calon-calon yang terbaik.

Mengenai pencalonan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden, Ghapur memberitahu bahawa Umno Kalabakan percaya bahawa Muhyiddin adalah gandingan mantap terbaik untuk Najib memulihkan parti dan ekonomi negara, setelah menggantikan tampuk pemerintahan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi kelak.

"Dan apabila Umno sudah ada barisan kepimpinan yang baru, kita berharap nasib rakyat Sabah dan Sarawak tidak dilupakan. Keadilan perlu ditunjukkan, seperti dengan memberi lebih peluang kepada orang Sabah dan Sarawak untuk memegang jawatan tinggi di dalam agensi-agensi kerajaan," katanya.

Pada persidangan tersebut, para perwakilan turut memilih Abdul Muis Picho sebagai Timbalan Ketua Bahagian Kalabakan dan Ismail Ait sebagai Naib Ketua Bahagian.

Wednesday, September 24, 2008

MARIN TAWAU TUMPAS PENYELUDUP


Tahniah kepada pihak Polis Marin Tawau atas kejayaan mematahkan percubaan menyeludup keluar 3,145 paket minyak masak bernilai RM 8,648 dari daerah ini ke negara jiran pada 23 September 2008 (Selasa).

Nampaknya Polis Marin kita memang rajin dalam melaksanakan tugasnya mempertahankan hak masyarakat dan pengguna di daerah ini.

TAHNIAH KEPADA KETUANYA DSP HUSAINI ZAINAL ABIDIN.

Ini isi berita yang disiarkan akhbar New Sabah Times (25 Sept 2008) berhubung kejayaan itu.

TAWAU: Polis Marin Tawau berjaya menumpaskan dua lagi percubaan menyeludup keluar 3,145 paket minyak masak bernilai RM 8,648 dari negara ini ke negara jiran, hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot pete-pete (perahu) dan sebuah bot penumpang, di sekitar Perairan Tawau pada Selasa lepas.

Pegawai Pemerintah Marin Tawau DSP Husaini Zainal Abidin berkata, semasa pemeriksaan pertama dibuat iaitu ke atas bot pete-pete terbabit di kawasan Sg. Pukul pada kira-kira jam 12.00 tengahari, pihaknya telah berjaya menjumpai 85 kotak yang mengandungi 1,445 paket minyak masak 1 kilogram.

Pemeriksaan lanjut ujarnya mendapati kesemua minyak masak tersebut tidak mempunyai dokumen dan berikutan itu, pihaknya menahan juragan pete-pete terbabit yang merupakan rakyat tempatan berusia 21 tahun, serta pembantunya, yang berumur 23 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Kita juga turut merampas perahu pete-pete tersebut yang bernilai RM 2,000 dan enjin sangkutnya yang dianggarkan bernilai RM 7,000,” kata beliau sambil memberitahu operasi tersebut dikenali sebagai Ops Octopus.

Kesemua barang rampasan katanya kini ditahan pihaknya dan akan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam.

Dalam operasi kedua pula jelasnya, pihaknya yang memeriksa sebuah bot penumpang di kawasan laut Bergosong pada kira-kira 2.30 petang hari yang sama, menemui 1,700 paket minyak masak 1 kilogram, yang disimpan di dalam 100 kotak di dalam bot tersebut.

Juragan bot katanya hanya menunjukkan sekeping lesen berniaga jual borong, tetapi kelayakan di dalam dokumen tersebut hanya melibatkan 1,000 paket minyak masak berbanding 1,700 paket yang berada di dalam kawalannya.

Berikutan itu katanya, kesemua minyak masak berkenaan kini disimpan di Pangkalan Marin Tawau sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan.

Dalam pada itu, Husaini memberitahu bahawa sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya telah berjaya membuat rampasan bernilai RM 85,584.10, melibatkan 27,566 kilogram minyak masak dan 6,111 kilogram gula pasir.

“Kejayaan ini bukan hanya milik Marin tetapi juga milik masyarakat awam yang sering menyalurkan maklumat kepada pihak kita. Saya berharap kerjasama sedemikian dapat terus dipertingkatkan,” katanya.

Apa yang penting, walaupun pihak polis Marin dan pihak-pihak lain melaksanakan tanggungjawab mereka, kita sebagai masyarakat Tawau juga mestilah memberikan kerjasama.

Insya-Allah kalau ada kerjasama padu dari semua pihak, Perbandaran Tawau tentunya akan terus aman sejahtera dan maju membangun.

Tuesday, September 23, 2008

BERBUKA PUASA BERSAMA YB DATUK TAWFIQ


Kelmarin (22 Sept 2008), Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, YB Datuk Haji Tawfiq Datuk Haji Abu Bakar Titingan telah bermurah hati menjemput aku menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Tawau Seafood Restaurant.

Majlis itu dihadiri kira-kira 200 orang terdiri dari Ketua-ketua Jabatan, pengamal media, pemimpin akar umbi dan
blogger-blogger terkemuka di bandar Tawau.

Dalam majlis itu, kami dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti lauk udang, ikan, cendol dan macam-macam lagi. Memang
BEST! Kenyang betul kami makan di restoran tu...

Ndak* setakat itu, apa yang lebih menarik YB Datuk Tawfiq turut bermurah hati memberikan sumbangan beg hijau berisi coklat, kain sarung, kuih raya, minuman berkarbonat, kerepek pisang dan amplang* kepada kami.

Terima kasih YB Datuk kerana sudi jemput dan beri sumbangan. Mudah-mudahan YB Datuk murah rezeki dan terus menjadi pemimpin kesayangan masyarakat di Tawau ini.

Glosari: 
Ndak (dialek Sabah) = Tidak
Amplang = Sejenis keropok yang terkenal di Tawau, Sabah. Ia diperbuat daripada ikan atau udang.

AKU DAN BLOG


Alhamdulillah... Akhirnya setelah beberapa kali mencuba, aku berjaya juga membuat blog ini. Taulah.. Orang kampung... Manalah champion dengan barang-barang IT ni.

Malah satu ketika dulu, aku pernah fobia dengan komputer dan internet. Ndak* taulah kenapa.. Mungkin sebab aku rasa IT ni bukan bidang aku.

Tapi akhirnya aku berjaya juga membuat blog ini. Aku harap walaupun aku masih belum begitu pandai dan mungkin blogku belum begitu menarik, tapi sokonglah aku..!

Ada banyak yang aku mau kongsikan dengan masyarakat Tawau di luar sana.. Aku akan pastikan, dalam dua tiga minggu akan datang, siapa yang ndak baca blogku, dialah manusia yang paling rugi... Hehe...

So, TUNGGU....!