Wednesday, September 24, 2008

MARIN TAWAU TUMPAS PENYELUDUP


Tahniah kepada pihak Polis Marin Tawau atas kejayaan mematahkan percubaan menyeludup keluar 3,145 paket minyak masak bernilai RM 8,648 dari daerah ini ke negara jiran pada 23 September 2008 (Selasa).

Nampaknya Polis Marin kita memang rajin dalam melaksanakan tugasnya mempertahankan hak masyarakat dan pengguna di daerah ini.

TAHNIAH KEPADA KETUANYA DSP HUSAINI ZAINAL ABIDIN.

Ini isi berita yang disiarkan akhbar New Sabah Times (25 Sept 2008) berhubung kejayaan itu.

TAWAU: Polis Marin Tawau berjaya menumpaskan dua lagi percubaan menyeludup keluar 3,145 paket minyak masak bernilai RM 8,648 dari negara ini ke negara jiran, hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot pete-pete (perahu) dan sebuah bot penumpang, di sekitar Perairan Tawau pada Selasa lepas.

Pegawai Pemerintah Marin Tawau DSP Husaini Zainal Abidin berkata, semasa pemeriksaan pertama dibuat iaitu ke atas bot pete-pete terbabit di kawasan Sg. Pukul pada kira-kira jam 12.00 tengahari, pihaknya telah berjaya menjumpai 85 kotak yang mengandungi 1,445 paket minyak masak 1 kilogram.

Pemeriksaan lanjut ujarnya mendapati kesemua minyak masak tersebut tidak mempunyai dokumen dan berikutan itu, pihaknya menahan juragan pete-pete terbabit yang merupakan rakyat tempatan berusia 21 tahun, serta pembantunya, yang berumur 23 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Kita juga turut merampas perahu pete-pete tersebut yang bernilai RM 2,000 dan enjin sangkutnya yang dianggarkan bernilai RM 7,000,” kata beliau sambil memberitahu operasi tersebut dikenali sebagai Ops Octopus.

Kesemua barang rampasan katanya kini ditahan pihaknya dan akan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam.

Dalam operasi kedua pula jelasnya, pihaknya yang memeriksa sebuah bot penumpang di kawasan laut Bergosong pada kira-kira 2.30 petang hari yang sama, menemui 1,700 paket minyak masak 1 kilogram, yang disimpan di dalam 100 kotak di dalam bot tersebut.

Juragan bot katanya hanya menunjukkan sekeping lesen berniaga jual borong, tetapi kelayakan di dalam dokumen tersebut hanya melibatkan 1,000 paket minyak masak berbanding 1,700 paket yang berada di dalam kawalannya.

Berikutan itu katanya, kesemua minyak masak berkenaan kini disimpan di Pangkalan Marin Tawau sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan.

Dalam pada itu, Husaini memberitahu bahawa sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya telah berjaya membuat rampasan bernilai RM 85,584.10, melibatkan 27,566 kilogram minyak masak dan 6,111 kilogram gula pasir.

“Kejayaan ini bukan hanya milik Marin tetapi juga milik masyarakat awam yang sering menyalurkan maklumat kepada pihak kita. Saya berharap kerjasama sedemikian dapat terus dipertingkatkan,” katanya.

Apa yang penting, walaupun pihak polis Marin dan pihak-pihak lain melaksanakan tanggungjawab mereka, kita sebagai masyarakat Tawau juga mestilah memberikan kerjasama.

Insya-Allah kalau ada kerjasama padu dari semua pihak, Perbandaran Tawau tentunya akan terus aman sejahtera dan maju membangun.

No comments: