Zafrin
Wartawan akhbar New Sabah Times (NST), Mohd. Zafrin Nordin, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berhubung tindakan pemaju tapak Medan Anjung Selera Sabindo Tawau, bertindak menyerang beliau dengan kata-kata kesat pada 25 Disember yang lalu.
Kejadian itu berlaku di belakang salah sebuah gerai di tapak terbabit ketika wartawan berkenaan ingin beredar selepas makan malam di gerai itu, lebih kurang pukul 9.45 malam.
Menurut laporan polis yang dibuat Zafrin pada jam 10.54 malam, insiden itu bermula apabila beliau tiba-tiba didatangi pemaju tapak berkenaan yang dikenali sebagai Buyung, yang kemudiannya bertindak mempertikaikan tindakan wartawan itu menyiarkan satu artikel di akhbar NST pada 23 Disember.
Artikel berkenaan menyentuh kenyataan Haji Salsidu Haji Ibrahim, Presiden
Majlis Perbandaran Tawau (MPT), yang menggesa supaya pemaju tapak menyediakan tong sampah di kawasan itu untuk kegunaan para penyewa gerai-gerai di tapak berkenaan.
Zafrin menunjukkan salinan laporan polis dan artikel berkaitan yang tersiar pada 23 Disember.Dalam laporan yang dibuat, Zafrin menyatakan bahawa selain kata-kata kesat, beliau turut ditolak oleh anak pemaju terbabit dan dihalau keluar dari kawasan Medan Anjung Selera Sabindo.
.
Sementara itu, Zafrin ketika ditemubual memberitahu bahawa beliau kesal dengan insiden itu dan menyifatkan tindakan pemaju tapak berkenaan sebagai tidak peka terhadap tugas sebenar seseorang wartawan.
.
Meskipun beliau sudah menerangkan bahawa artikel itu adalah kenyataan Salsidu dan pihak pemaju tapak terbabit boleh mengeluarkan kenyataan lain atau bertindak menyaman pihak akhbar jika kenyataan itu tidak betul, namun Buyung terus-menerus mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.
.
"Saya cuma menjalankan tugas saya dan artikel itu saya tulis adalah berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden (Salsidu).
.
"Kenapa saya yang ditengking dan dimaki di depan orang ramai? Dan, apa perlunya dia kata dia tidak mahu ada pemberita datang ke tapak itu sedangkan saya datang sebagai pelanggan kepada sebuah gerai di situ. Adakah itu bermaksud wartawan dilarang makan di gerai-gerai yang ada di sana?" Katanya.
.
Dalam hal berkaitan, Zafrin menyatakan bahawa beliau menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana beliau percaya pihak berkuasa terbabit cukup bijaksana untuk menyiasat kes tersebut seadil-adilnya.
.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Operasi MPT, Khanizman Mohd. Pakir, dalam kenyataannya mewakili Salsidu pula menyatakan bahawa insiden itu tidak seharusnya berlaku apatah lagi apabila kenyataan yang disiarkan adalah kenyataan Presiden MPT.
.
"Jangan salahkan wartawan. Mereka hanya menjalankan tugas dan kalau adapun masalah berhubung artikel berkenaan, kenapa tidak datang atau berhubung dengan pihak MPT? Saya kesal dengan perkara ini," katanya.
.
Pemangku Ketua Polis daerah Tawau, Supt. Haji Ramli Ali Mat, dalam pada itu mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan yang dibuat Zafrin. Menurutnya, pihak polis akan menyiasat perkara itu.
.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Joniston Bangkuai, ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana wartawan berkenaan cuma menjalankan tugasnya.
.
"Kejadian ini mengecewakan kerana masih ada pihak yang gagal memahami tugas wartawan dan tidak boleh menerima kritikan membina," katanya.