Tuesday, October 14, 2008

UMNO KALABAKAN CALON NAJIB DAN MUHYIDDIN

TAWAU 12 Okt - Umno Bahagian P.191 Kalabakan di sini mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno, pada Persidangan Perwakilan Umno Pusat Mac depan.

Pada mesyuarat yang sama, bahagian terbabit turut meletakkan Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, masing-masing sebagai calon Naib, Naib Kedua dan Naib Ketiga, pada pemilihan yang sama.

Ketua Umno Bahagian P.191 Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abd. Ghapur Haji Salleh yang kelmarin kekal dengan jawatannya tanpa bertanding berkata, senarai calon Umno Pusat itu diputuskan setelah nama-nama tersebut difikirkan sebagai calon-calon yang terbaik.

Mengenai pencalonan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden, Ghapur memberitahu bahawa Umno Kalabakan percaya bahawa Muhyiddin adalah gandingan mantap terbaik untuk Najib memulihkan parti dan ekonomi negara, setelah menggantikan tampuk pemerintahan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi kelak.

"Dan apabila Umno sudah ada barisan kepimpinan yang baru, kita berharap nasib rakyat Sabah dan Sarawak tidak dilupakan. Keadilan perlu ditunjukkan, seperti dengan memberi lebih peluang kepada orang Sabah dan Sarawak untuk memegang jawatan tinggi di dalam agensi-agensi kerajaan," katanya.

Pada persidangan tersebut, para perwakilan turut memilih Abdul Muis Picho sebagai Timbalan Ketua Bahagian Kalabakan dan Ismail Ait sebagai Naib Ketua Bahagian.